Lebih 3,000 kes HIV dilaporkan, 64% daripadanya libatkan homoseksual

Landskap jangkitan HIV di Malaysia kini berubah dengan ketara apabila penularan melalui hubungan seksual menjadi punca utama berbanding penggunaan jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad memaklumkan, sebanyak 3,185 kes baharu HIV dilaporkan tahun lepas dengan 96 peratus daripadanya berpunca daripada hubungan seksual.
Pecahan menunjukkan 64 peratus melibatkan hubungan sejenis (homoseksual dan biseksual), manakala 32 peratus adalah hubungan heteroseksual.
Golongan lelaki mencatatkan majoriti kes iaitu 90 peratus, manakala wanita hanya 10 peratus.
Bagaimanapun, kadar jangkitan dalam kalangan wanita meningkat berbanding era 1990-an yang menyaksikan hanya satu peratus kes melibatkan golongan itu.
Selain itu, 75 peratus daripada kes HIV yang direkodkan tahun lalu melibatkan individu berusia antara 20 hingga 39 tahun.