Lebih 35,000 hilang pekerjaan susulan penutupan kilang setakat Julai

Seramai 35,446 individu kehilangan pekerjaan di seluruh negara dari Januari hingga 4 Julai lalu, susulan penutupan kilang dan syarikat.
Walaupun angka itu membimbangkan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya menempatkan semula 94,262 individu, termasuk pencari kerja baharu, ke dalam pasaran pekerjaan menerusi pelbagai program intervensi.
Antara langkah yang dilaksanakan ialah sesi profiling MYFutureJobs dan program penempatan semula, selain latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling). Sehingga kini, seramai 5,403 Orang Berinsurans (OB) telah mengikuti program berkenaan.
PERKESO turut menyediakan bantuan kewangan segera melalui faedah insurans pekerjaan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), serta bantuan kepada waris dalam kes kematian atau kecacatan serius.