Lebih 45,000 pelajar sekolah dikesan hisap rokok – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan seramai 230 murid sekolah rendah dikesan mempunyai masalah merokok, dengan 193 daripada mereka telah menjalani intervensi berhenti merokok sepanjang tahun lalu.
Bagi peringkat sekolah menengah, seramai 44,211 pelajar dikenal pasti terlibat dalam aktiviti merokok, dan 36,870 daripada jumlah itu telah mengikuti intervensi yang sama dalam tempoh tersebut.
Data itu diperoleh menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK), yang dilaksanakan sebagai langkah pencegahan dan intervensi terhadap tabiat merokok dalam kalangan pelajar sekolah.
KKM turut merekodkan lima kematian yang berkemungkinan berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape antara tahun 2019 hingga Jun lalu.
Namun, hubungan langsung antara penggunaan vape dengan punca kematian sukar disahkan memandangkan keterbatasan bukti klinikal dan kemungkinan faktor lain yang menyumbang kepada kematian tersebut.
Sehingga Jun tahun ini, KKM menerima 83 laporan kes penyakit yang dikaitkan dengan penggunaan produk merokok, termasuk rokok elektronik dan vape.
Daripada jumlah itu, 44 kes membabitkan komplikasi serius yang memberi kesan kepada paru-paru.