Lebih 50 lokasi di Johor ditutup bekalan elektrik

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di lebih 50 lokasi di Johor sejak Khamis akibat banjir.
Menurut TNB Careline, langkah ini diambil atas faktor keselamatan, dengan gangguan bekalan melibatkan daerah Kulai, Kota Tinggi, dan Johor Bahru.
Antara kawasan terjejas di Kulai termasuk Estate Lee, Taman Jaya Sepakat, dan Kampung Sepakat Baru. Di Johor Bahru, kawasan terlibat ialah Kampung Pasir Tebrau, Kompleks Sukan Bukit Mutiara, Desa Mutiara, Kampung Paya Kenangan, serta beberapa kilang di kawasan perindustrian Tebrau. Sementara itu, Taman Aman di Kota Tinggi turut mengalami gangguan elektrik.
TNB mengingatkan orang ramai, terutama mangsa banjir, agar mematuhi langkah keselamatan elektrik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.