Lelaki bakar apartmen guna ‘flamethrower’, 3 maut, 11 cedera

Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 11 lagi cedera selepas satu kebakaran besar berlaku di sebuah apartmen 21 tingkat di Bongcheon-dong, Gwanak, selatan Seoul, awal pagi Isnin.
Menurut laporan media tempatan, insiden dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat apabila seorang lelaki berusia lingkungan 60-an didakwa memulakan kebakaran menggunakan alat penyembur racun perosak yang diubah suai menjadi penyembur api atau ‘flamethrower’.
Mangsa yang maut termasuk tiga individu yang dipercayai terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri. Lima daripada mangsa yang cedera kini dalam keadaan parah.
Mayat rentung yang ditemui di tingkat empat disyaki milik suspek, berdasarkan padanan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa sebelum itu menerima panggilan kecemasan yang melaporkan kebakaran selepas bunyi letupan kuat kedengaran.
Laporan juga menyebut suspek cuba melarikan diri menaiki motosikal, namun pihak polis kini sedang menyiasat dan mengesahkan punca sebenar kejadian.