Lelaki bertumbuk dengan penjaga tol tular akibat gagal melepasi palang tol di Johor

Kuala Lumpur, Oct 1 – Video seorang lelaki bertumbuk dengan penjaga tol tular, dipercayai akibat tidak berpuas hati kerana ‘Touch n Go’ (TnG) yang berada dalam kad pengenalannya tidak dapat digunakan hingga dia gagal melepasi palang tol.
Video berdurasi dua minit 19 saat itu memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan saling bertumbuk sebelum ditenangkan orang awam yang melalui plaza tol berkenaan.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata hasil siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 1.15 petang kelmarin di Plaza Tol Perling menghala ke Iskandar Puteri.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun mendekati penjaga tol kerana tidak puas hati apabila TnG melalui kad pengenalannya tidak dapat digunakan, walaupun terdapat baki wang mencukupi untuk melepasi palang tol.
“Perselisihan faham berlaku antara penjaga tol dengan lelaki itu hingga membawa kepada pergelutan antara mereka,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian membantu meleraikan pergaduhan dan kini kes itu disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan pergaduhan gempar.