Lelaki dengan 19 rekod jenayah maut selepas berbalas tembakan dengan polis

Seorang lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas awal pagi Rabu, dikenal pasti sebagai penjenayah tegar dengan 34 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata suspek berusia 35 tahun itu maut di tempat kejadian selepas melepaskan tembakan terhadap pasukan polis yang cuba menahannya ketika rondaan cegah jenayah sekitar jam 4.03 pagi.
Menurutnya, suspek yang memandu BMW bertindak agresif sebaik didekati pihak polis dengan keluar dari kenderaan dan menembak ke arah mereka, sebelum polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
Pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol FNP-45, tiga butir peluru, parang, batang besi, kayu rotan serta 22.5 gram syabu bersama peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti pecah rumah, termasuk ‘jammer signal’ dan pakaian penyamaran.
Suspek memiliki 19 rekod jenayah dan 15 rekod narkotik turut ditahan bersama lapan individu lain termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek, dengan empat daripadanya turut mempunyai rekod jenayah.
Tangkapan ini sekali gus membantu polis menyelesaikan 25 kes samun, pecah rumah dan kedai dobi di Pulau Pinang membabitkan kerugian sekitar RM500,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.