Lelaki dirempuh tren komuter rupanya pesakit Tanjung Rambutan yang larikan diri

Seorang lelaki yang maut dirempuh tren komuter berhampiran sebuah kuil di Chemor semalam dikenal pasti sebagai pesakit mental yang melarikan diri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Mangsa berusia lingkungan 40-an itu disahkan selepas waris tampil membuat pengecaman.
Kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi ketika tren KTMB dari Ipoh menuju ke utara melalui lokasi berkenaan.
Pemandu tren memaklumkan terdengar dentuman kuat, namun tidak dapat mengenal pasti objek kerana keadaan gelap dan berkabus.
Pemeriksaan polis di lokasi menemukan serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi milik mangsa. Tiada rakaman CCTV ditemui di kawasan berkenaan.
Bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).