Malaysia
Lelaki maut ditembak duduk di bahagian penumpang kereta – Polis

Polis mengesahkan lelaki yang maut terkena tembakan di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, Kuching pada pagi Sabtu merupakan penumpang kereta.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, mangsa yang maut berusia 34 tahun.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan mangsa duduk di bahagian penumpang depan atau belakang ketika kejadian itu.
Pada jam 5.30 pagi Sabtu, dua lelaki membawa mangsa yang terbaring di dalam kereta Perodua Myvi ke Balai Polis Batu Kawa.
Mohd Irwan berkata, dua lelaki terbabit memaklumkan rakan mereka itu terkena tembakan ketika mereka melalui Jalan Stephen Yong.
Katanya, terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.