Lelaki maut ditikam depan rumah di Senawang

Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas dipercayai ditikam di bahagian dada di hadapan sebuah rumah di Jalan Sri Pagi 15, Taman Sri Pagi, Senawang, petang Isnin.
Kejadian berlaku sekitar jam 6.50 petang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi pada jam 7.28 malam oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Menurutnya, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 31 tahun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam. Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 18 Ogos bagi membantu siasatan.
Pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.