Lelaki maut ditikam rakan sedang mabuk di Tawau

Seorang lelaki maut akibat cedera parah dengan usus terkeluar selepas ditikam dalam pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di Tawau, petang Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.43 petang itu apabila dua lelaki yang juga buruh kasar dan dipercayai mabuk mula bertengkar sebelum salah seorang menikam rakannya.
Polis yang menerima panggilan kecemasan segera ke lokasi dan berjaya menahan suspek berusia 37 tahun sekitar jam 5 petang. Suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Polis turut merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, tular video memaparkan mangsa terbaring dalam keadaan lemah dengan usus terkeluar sambil diperhatikan orang awam. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan.