Lelaki OKU tular terima bantuan secukupnya, masih disokong keluarga

Kisah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular di media sosial baru-baru ini apabila video memaparkan keadaannya berjalan untuk membeli makanan sambil bertongkat dalam hujan meraih simpati masyarakat.
Namun, hakikatnya lelaki berkenaan, Jefree Regan, 49, sebenarnya sudah lama menerima bantuan secukupnya.
Jefree merupakan salah seorang daripada ribuan asnaf di Perak yang menerima bantuan bulanan tetap daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sejak 2016.
Dia turut menerima bantuan tambahan ketika musim perayaan selain kerap hadir ke pejabat MAIPk bagi mendapatkan sokongan kecemasan yang sentiasa diberikan.
Selain itu, Jefree tidak keseorangan seperti yang disangka. Dia masih mempunyai adik-beradik yang menjaganya, malah penduduk kampung juga sedia membantu.
Menurut maklumat penduduk setempat, keluarganya terus memberikan sokongan meskipun Jefree pernah melalui tempoh sukar sebelum ini.
MAIPk bersama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat terus memastikan kebajikan golongan asnaf dan OKU sepertinya sentiasa terbela.