Lelaki temu ajal, motorsikal rempuh belakang kereta di Salak Tinggi

Kuala Lumpur, Ogos 2 – Seorang lelaki temu ajal terlibat dalam kemalangan apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Nilai, Salak Tinggi, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, hasil siasatan awal mendapati sewaktu di persimpangan lampu isyarat, sebuah kereta Proton Saga berada di lorong tengah memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat bertukar merah.
Secara tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Honda RS-X, dimana seorang lelaki melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.
“Akibat kemalangan penunggang motosikal yang datang dari arah Salak Tinggi menuju Gombak mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.