Lesen Era FM berkemungkinan digantung – MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular yang menyentuh sensitiviti penganut Hindu.
Dalam kenyataan pada Rabu, MCMC memaklumkan bahawa pemegang lesen diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.
Kertas siasatan berhubung insiden tersebut akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC turut mengesahkan bahawa pengurusan tertinggi Astro telah dipanggil semalam bagi memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.
Kes itu terus mendapat perhatian umum, dengan penglibatan pelbagai pihak berkuasa yang menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan sensitiviti agama sentiasa terpelihara.