Lima pasukan tempah slot ke Final Kebangsaan WCGC Malaysia

Lima pasukan terbaik berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir kebangsaan World Corporate Golf Challenge (WCGC) Malaysia yang dibawakan oleh ENOTECH, selepas tamat pusingan kelayakan kedua yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Club pada Selasa.
Pasangan dari Seng Haw Timber Sdn Bhd, Tay Cher Haw (9) dan Liew Vin Sern (18) muncul juara dengan catatan gabungan Stableford 49 mata. Mereka mengatasi Mohd Azmi Mahmud (6) dan Azhar Husain (13) dari MG Synergy yang meraih 46 mata di tempat kedua.
Di tempat ketiga menerusi kiraan countback ialah pasukan Widad Skycore (M) Sdn Bhd diwakili Isyraf Widad Dato’ Muhammad Ikmal Opat (2) dan Mohd Adib Ibrahim (8) dengan 45 mata, mengatasi pasangan Muhammad Feyyaz (9) dan Amirul Adli Senu (5) dari Feyyaz Sports Group.
Pasangan Muhammad Firdaus Hj Said (5) dan Mohd Azwan (17) dari Sinar Jernih Sdn Bhd turut melengkapkan lima pasukan yang mara ke pusingan akhir kebangsaan di Kota Permai Golf & Country Club pada September ini.
Acara yang mengumpul penyertaan 124 pemain golf korporat itu terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan pemimpin perniagaan, usahawan dan profesional yang mengambil peluang beraksi sambil menjalinkan rangkaian kerjasama strategik.
Juara peringkat kebangsaan kelak akan mewakili Malaysia ke WCGC World Final di PGA Anying Golf Club, Shanghai pada 19 hingga 23 Oktober.