Litar pintas punca KLIA Terminal 2 bergelap selama 28 minit

Insiden gangguan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Khamis berpunca daripada lintar pintas atau flashover yang berpotensi menyebabkan kebakaran.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan operasi lapangan terbang tidak terjejas ketika kejadian dan semua perkhidmatan penting kekal berfungsi.
Bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 28 minit selepas pasukan teknikal mengalihkan kuasa daripada pencawang alternatif.
Manakala sistem sokongan termasuk penjana elektrik turut diaktifkan bagi memastikan kelancaran pengendalian bagasi, daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan.
MAHB kini sedang menyiapkan laporan penuh untuk dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, selain menjalankan penilaian menyeluruh bagi memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan ketahanan infrastruktur pada masa hadapan.