“Luluh hati saya dengar rintihan mangsa banjir” – MB Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa sedih dengan kejadian bencana yang menimpa penduduk di negeri berkenaan.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau akui hatinya luluh mendengar rintihan dan luahan mereka yang terkesan akibat banjir tersebut.
Beliau menyatakan bahawa ramai penduduk terpaksa menghadapi kesukaran yang tidak terduga, termasuk rumah yang ditenggelami air, kehilangan harta benda, serta anak-anak kecil yang terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,092 orang daripada 1,284 keluarga, dengan 79 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah terjejas.
Onn Hafiz turut meninjau keadaan di PPS Dewan MBIP Skudai yang kini menempatkan 169 mangsa daripada 61 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan bahawa hujan lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus menggerakkan segala usaha bagi menyelaras bantuan, memastikan bekalan makanan mencukupi, serta menyediakan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas.