MAHB labur RM30 juta naik taraf KLIA T1, sedia terima lebih ramai penumpang

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan RM30 juta pada separuh pertama 2025 bagi menaik taraf Terminal 1 KLIA (KLIA T1).
Langkah ini dilihat penting dalam persediaan menyambut Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober serta Tahun Melawat Malaysia 2026, selain berikutan peningkatan jumlah penumpang KLIA kepada 30.1 juta pada separuh pertama tahun ini.
Antara fokus utama ialah pelaksanaan 14 inisiatif termasuk sistem daftar masuk mudah alih untuk pemindahan bagasi yang mampu mengendalikan 10 kali lebih banyak bagasi sejam berbanding kaunter biasa, sekali gus mengurangkan kesesakan.
Untuk pelepasan antarabangsa, sembilan lorong pasport kendiri menggantikan enam kaunter manual, dilengkapi panduan digital agar lebih cepat.
MAHB turut menggantikan 5,000 troli dengan model lebih ringan serta menaik taraf tandas awam dengan akses mesra OKU, sinki sensor dan butang kecemasan. Sebanyak 54 parkir turut diubah suai menjadi 36 ruang mesra keluarga berhampiran pintu masuk.
Ia juga dilaksana bagi meningkatkan skor Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) KLIA dan penarafan Skytrax di samping memastikan pengalaman penumpang lebih selesa dan lancar.