Mahkamah Korea Selatan Lulus Waran Tangkap Presiden Yoon Suk Yeol
Mahkamah Korea Selatan hari ini meluluskan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol yang telah digantung jawatan susulan keputusan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, menurut pihak berkuasa.
Pejabat Penyiasatan Rasuah Pegawai Tertinggi (CIO) mengesahkan Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan permohonan waran tangkap, menjadikannya waran tangkap pertama terhadap presiden yang masih memegang jawatan dalam sejarah negara itu.
Presiden Yoon disiasat atas dakwaan pemberontakan. CIO turut mendapat kebenaran untuk menggeledah kediaman Yoon selepas percubaan polis untuk menyerbu pejabat presiden sebelum ini dihalang oleh pasukan keselamatan presiden.
Pemangku ketua Parti Kuasa Rakyat menyifatkan tindakan menahan presiden yang sedang berkhidmat sebagai tidak wajar.