Majlis Iftar Vanakkam Malaysia, salam kolaborasi bersama rakan korporat

Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, kebiasaannya majlis berbuka puasa dianjurkan oleh kementerian, syarikat korporat, atau pihak komunikasi korporat sebagai tanda penghargaan kepada media.
Namun, kali ini, Vanakkam Malaysia mengambil langkah berbeza dengan menganjurkan majlis iftar khas untuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat mahupun rakan media.
Majlis yang berlangsung di Restoran India Gate, Petaling Jaya itu turut dihadiri oleh wakil kementerian, selain kehadiran rakan media dan pihak berkepentingan yang telah lama menjalin kerjasama erat dengan Vanakkam Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan, majlis itu bukan sekadar ruang untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga simbolik kepada nilai perpaduan, hormat-menghormati dan muhibah yang menjadi teras kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Jelasnya, majlis yang dihadiri lebih 40 orang itu diharap dapat menjadi satu titik kolaborasi kepada semua yang hadir dan beliau pada masa sama menzahirkan harapan agar dapat membina sinergi yang membawa manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
Turut hadir, S. Jai Shankar, Pengarah Kanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raymond Siva wakil Kementerian Digital, Human Resource Development Corporation (HRDCORP), Malaysia Press Institute (MPI) dan beberapa lagi rakan media lain.