Makin ramai remaja di Singapura jadi seperti zombi akibat Kpod, sejenis vape campuran dadah

Singapura kini berdepan kebimbangan serius terhadap penyalahgunaan vape jenis baharu dikenali sebagai Kpod, iaitu pod vape bercampur dadah penenang yang memberi kesan seperti ‘zombi’ kepada pengguna.
Walaupun kelihatan seperti vape biasa dengan perisa buah, Kpod sebenarnya mengandungi ubat pelali kuat seperti etomidate dan ketamin yang lazimnya digunakan dalam perubatan sebagai ubat bius.
Fenomena ini digelar sebagai ‘zombie vape’ kerana beberapa kali pengguna yang majoritinya golongan muda dilihat berjalan terhuyung-hayang, menggigil atau separa sedar seperti sedang khayal.
Beberapa kes dilaporkan sebelum ini melibatkan remaja yang ketagih Kpod sehingga cuba mencederakan diri termasuk kes tragis seorang gadis 19 tahun yang maut selepas terjatuh dari flatnya di Tanjong Pagar tahun lalu.
Dalam satu kes lain, seorang ibu terpaksa menahan anaknya yang cuba terjun dari tingkap ketika berada di bawah pengaruh Kpod.
Kejadian-kejadian seperti ini kini semakin tular, dengan video memaparkan remaja bertindak pelik dan hilang kawalan dikaitkan dengan penggunaan pod vape berbahaya ini.
Pihak berkuasa kesihatan Singapura mengesahkan peningkatan mendadak kes etomidate, dengan 28 kes direkodkan setakat pertengahan 2025, hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ancaman Kpod bukan terhad kepada Singapura. Di Malaysia, rampasan pod vape mengandungi dadah meningkat kepada 119 kes tahun lalu, dengan tiga rakyat Singapura didakwa atas kesalahan menyeludup pod vape berisi kokain cair ke negara itu.