Makin ramai usahawan ‘berjaya’ Kelantan diperhatikan polis

Polis Kelantan mendedahkan semakin ramai usahawan termasuk pemilik perniagaan, pengasas produk dan pempengaruh di negeri itu kini berada dalam radar pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah, terutamanya pengedaran dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan, banyak individu yang dilihat ‘berjaya’ ini dipercayai menggunakan perniagaan sebagai topeng untuk menjalankan aktiviti haram demi cepat kaya.
Perkara itu dibuktikan dengan penahanan enam individu termasuk sepasang suami isteri di Pasir Mas pada 27 Jun lalu, yang disyaki memiliki lebih 35 kilogram pil kuda bernilai lebih RM5 juta.
Pasangan berusia 34 tahun itu dipercayai menggunakan perniagaan kedai makan, pusat kecantikan dan perniagaan dalam talian untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Polis turut merampas pelbagai aset mewah bernilai lebih RM1.1 juta hasil serbuan. Siasatan mendapati kumpulan tersebut aktif mengedar dadah sejak 2022.