Maklumat skandal diterima melibatkan Farhash, bukan Ismail Sabri atau KJ – Rafizi

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa maklumat skandal yang dikongsikan oleh Kumpulan ‘whistleblower’ kepadanya adalah melibatkan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Menerusi perkongsian video di Twitter, Rafizi menyebut bahawa ia adalah berkait dengan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengenai urusniaga syarikat-syarikatnya.
Beliau pada masa sama menafikan tuduhan bahawa yang ia berkait dengan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bekas Menteri ekonomi itu akui terkejut dengan dakwaan yang menyebut Ismail Sabri yang melibatkan wang yang dicuci di luar negara dan Khairy yang dikaitkan dengan projek-projek semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan.
Kata Rafizi, tuduhan itu tidak benar dan ia merupakan salah satu usaha untuk mengalih perhatian rakyat dan siasatan kerana lebih banyak cerita-cerita seperti ini timbul, lebih ramai yang akan membuat kesimpulan sendiri.
Untuk itu, beliau telah berhubung dengan Ismail Sabri sendiri dan menyokong sepenuhnya keputusan beliau untuk membuat laporan polis mengenai berita-berita tidak benar begini.