Malaysia ambil pendekatan sederhana isu tarif AS – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu membentuk kesepakatan berhubung tarif baharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi memastikan rundingan akan datang mempunyai asas yang kukuh.
Beliau berkata, ASEAN tidak boleh memandang ringan situasi tersebut memandangkan keadaan ekonomi dan politik global yang tidak menentu.
Ia meskipun langkah itu dibuat atas asas yang dipertikaikan dan tidak teliti termasuk menyenarai negara pulau kecil yang “dihuni penguin”.
Anwar berkata, kerajaan Malaysia akan mengambil pendekatan sederhana kerana ruang perbincangan masih terbuka dan terdapat beberapa pengecualian tarif yang perlu dikenal pasti.
Anwar turut memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN termasuk Presiden Indonesia, Perdana Menteri Vietnam, serta pemimpin dari Filipina, Brunei, Laos dan Thailand untuk menyelaraskan pendirian bersama.
Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya yang berlangsung pada pagi Isnin.