Malaysia antara 25 negara dengan tahap IQ terbaik dunia

Tahap kecerdasan intelek (IQ) rakyat Malaysia terus mencatatkan prestasi membanggakan apabila negara kini berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia.
Menurut kemas kini laporan tahun 2025 yang dikeluarkan oleh International IQ Test, Malaysia menduduki tangga ke-22 dengan purata IQ sebanyak 100.48, hasil daripada penilaian ke atas lebih 19,000 peserta tempatan.
Lebih membanggakan, Malaysia kini berada di tempat ketiga tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara, selepas Singapura yang menduduki tempat kelima dan Thailand di kedudukan ke-15.
Sebaliknya, negara jiran Indonesia berada jauh di belakang, menduduki tangga ke-98 dengan purata IQ sebanyak 93.18.
Perbezaan ini memperlihatkan jurang yang ketara antara tahap kecerdasan purata kedua-dua negara jiran.
Laporan tersebut turut menjelaskan bahawa purata IQ global kekal pada paras 100, dipengaruhi oleh negara-negara berpenduduk besar seperti China.
Negara itu yang menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah populasi dunia, mencatatkan purata IQ setinggi 107.19 antara yang tertinggi di dunia sekaligus membantu mengimbangi negara-negara lain yang memiliki purata IQ lebih rendah.