Malaysia mungkin jadi sasaran kerana lantang kutuk Israel – PM

Kerajaan melihat keperluan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara susulan ancaman kehadiran ejen perisikan asing, termasuk dari Mossad, agensi perisikan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini diambil selepas beberapa insiden membabitkan aktiviti penyeludupan senjata, dadah serta penglibatan individu tempatan yang bersekongkol dengan ejen asing.
Malaysia yang lantang mengecam kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin turut berdepan risiko menjadi sasaran pihak berkepentingan.
Perkembangan ini mendorong Kementerian Dalam Negeri untuk memperkukuh keupayaan keselamatan sempadan bagi mencegah sebarang bentuk pencerobohan perisikan yang boleh menggugat keselamatan negara.
Anwar berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat) yang mahu mengetahui langkah kerajaan bagi mengelakkan kemasukan ejen Mossad ke negara ini.