Masih bujang? Terengganu lancar portal Jodoh Darul Iman

Terengganu pada Rabu melancarkan portal Jodoh Darul Iman bagi menggalakkan penduduk bujang serta ibu bapa Tunggal di negeri itu mencari pasangan hidup dan seterusnya berkahwin.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif patuh syariah itu bukan sahaja tentang mencari cinta, malah ia diharapkan dapat bantu meningkatkan kadar perkahwinan dan kelahiran di negeri itu.
Sewaktu majlis pelancaran yang diadakan pada Rabu itu juga, Samsuri memaklumkan bahawa portal itu turut menyediakan ruang bimbingan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bersuai kenal menuju perkahwinan.
Sebagai rekod, Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai individu belum berkahwin.
Kajian daripada SeaAsia Stats melaporkan bahawa Malaysia mempunyai 44.68% individu bujang iaitu belum berkahwin, bercerai, berpisah atau balu.
Kajian itu berdasarkan sumber daripada Divisyen Populasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Statistik Populasi & Bujang berdasarkan data pada 2021.