Mayat bayi ditemui tertiarap dalam mangkuk tandas

Mayat seorang bayi ditemui tertiarap dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad, berkata orang awam menemui bayi tersebut sebelum melaporkannya kepada polis sekitar jam 12 tengah hari.
Beliau menerusi satu kenyataan media pada Isnin berkata bayi itu telah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi Ahad dan polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kes ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Kejadian yang tular di media sosial itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut.