Memahami derita penutupan jalan, kaedah WFH, PdPR dipertimbang bagi Sidang ASEAN

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menerima cadangan untuk pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan.
Beliau memaklumkan, cadangan itu akan dibawa ke perhatian Kabinet selepas menyedari kesulitan yang dihadapi rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang terkesan akibat penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping, ke Malaysia.
Beliau ingin mencadangkan kepada Kabinet agar jabatan-jabatan yang berkenaan boleh bekerja dari rumah, dan sekolah pula boleh menjalankan PdPR untuk mengurangkan kesesakan, terutamanya di Lembah Klang.
Beliau pada masa sama memohon maaf kepada yang terkesan akibat pentutupan jalan semasa lawatan Presiden China ke Malaysia.
Beberapa laluan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya sebelum ini ditutup sepenuhnya atau dilencongkan secara berperingkat dari 15 hingga 17 April bagi memberi laluan kepada pergerakan rasmi sempena lawatan negara Xi.