Menteri kecam tindakan lelaki tampar lelaki berbangsa Cina makan di tempat umum

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengecam keras tindakan seorang lelaki warga emas yang menampar lelaki Cina berulang kali kerana makan di khalayak ramai.
Katanya, kejadian yang berlaku di Johor itu merupakan provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara dan ia harus dihentikan serta-merta.
Beliau menerusi satu kenyataan media di ‘X’ pada Isnin memaklumkan, pihak polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya adakah dia seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.
Dalam perkongsian itu, dia yang merupakan lelaki bukan Islam turut memaparkan video kejadian dikasari seorang lelaki berjubah hitam sebelum ditenangkan oleh anak individu itu.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak kepada lelaki itu segera menenangkan situasi sebelum memohon maaf terhadap tindakan bapanya.
Ujar mangsa, dia menerima permohonan maaf daripada anak lelaki itu namun kesal dengan kejadian yang dialami kerana lelaki tersebut tidak menghormatinya dan menyerangnya.