Menteri Kritik Tindakan DBKL Hapuskan Papan Tanda Bahasa Cina
Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mengkritik tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda berbahasa Cina, menyifatkannya sebagai keterlaluan dan merosakkan imej negara sebagai masyarakat majmuk.
Beliau menyatakan tindakan operasi besar-besaran DBKL ke atas papan tanda tidak sah, termasuk di kawasan Segambut, Pudu, dan Jalan Silang, mencetuskan persoalan tentang keterbukaan Malaysia di mata pelancong.
“Tindakan melampau ini menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan mencerminkan imej autoritarian yang tidak sesuai untuk ibu negara,” katanya.
Beliau menggesa DBKL agar fokus kepada pembangunan infrastruktur dan tarikan pelancongan, bukan isu sempit berkaitan bahasa. Menurut Tiong, keunikan budaya pelbagai kaum adalah kekuatan negara, bukan kelemahan.
Operasi DBKL ini turut melibatkan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka serta pihak polis.