Menteri teliti cadangan siar langsung kes rasuah profil tinggi

Cadangan untuk menyiarkan secara langsung perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi masih perlu diteliti dari sudut peraturan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu akan dibawa ke Ketua Hakim Negara untuk pertimbangan dan kebenaran mahkamah.
Menurutnya, amalan biasa prosiding perbicaraan adalah direkodkan melalui rakaman audio, namun cadangan baharu itu mungkin memerlukan penyesuaian undang-undang dan pertimbangan kerajaan.
SPRM melalui Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mencadangkan siaran langsung bagi mengelakkan manipulasi fakta perbicaraan di media sosial yang menimbulkan pelbagai tohmahan.