Murid, 8 Tahun, Cedera Dilanggar di Hadapan Sekolah di Putrajaya

PUTRAJAYA – Seorang murid lelaki berusia lapan tahun mengalami retak di belakang kepala dan luka di badan selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Presint 11 (1) petang tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed, berkata kejadian berlaku pada 4.45 petang ketika mangsa melintas jalan dari laluan pejalan kaki berhampiran Blok C Apartmen Zon 6B. Dia dilanggar oleh sebuah kereta dipandu seorang wanita dan dihantar ke Hospital Putrajaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum pasukan bomba tiba, orang awam di lokasi bertindak membalikkan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa. Komander Operasi Balai Bomba Presint 7, Ismail Mustafa, berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.55 petang dan segera ke lokasi bersama sembilan anggota.