Nahas pelajar UPSI: PTPTN mangsa dilupuskan, bantuan RM10,000 kepada waris disalurkan

Beberapa langkah bantuan kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak awal pagi Isnin lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pinjaman pendidikan melibatkan 15 mangsa yang maut akan dilupuskan sepenuhnya tanpa sebarang tuntutan bayaran balik.
Katanya, dalam sidang media pada Rabu, tiada isu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 15 mangsa yang terkorban.
Tambah Fahmi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta bantuan kewangan tambahan disalurkan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban, manakala RM5,000 kepada mangsa yang cedera.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, seramai 15 pelajar UPSI terkorban manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan.