NASA sahkan putaran bumi kini semakin perlahan

Pernahkah anda rasa 24 jam sehari seperti terlalu panjang? Ini kerana Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sendiri mengesahkan bahawa hari di bumi memang semakin panjang, walaupun cuma sedikit.
Menurut pakar geofizik NASA, Dr. Benjamin Fong Chao, putaran bumi kini menjadi sedikit perlahan akibat kesan daripada Three Gorges Dam di China iaitu empangan hidroelektrik terbesar dunia.
Struktur gergasi yang menyimpan lebih 40 bilion meter padu air ini telah mengubah agihan jisim bumi, sekaligus memperlahankan putaran planet ini dan menambah panjang hari sebanyak 0.06 mikro saat.
Walaupun kesan itu amat kecil bersamaan kira-kira 3 hari tambahan jika dikira sepanjang usia alam semesta namun ia tetap boleh diukur dengan penggunaan teknologi moden.
Paksi bumi juga dilaporkan telah beralih sejauh dua sentimeter akibat perubahan ini yang mana NASA menyamakan kesan ini seperti aksi peluncur ais yang memperlahankan pusingan dengan merenggangkan tangan.
Empangan ini kekal penting untuk tenaga bersih China, menghasilkan kuasa kira-kira 15 reaktor nuklear dan membantu mengurangkan pergantungan kepada arang batu.