OIC adakan mesyuarat tergempar susulan tindakan Israel di Gaza

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar menteri-menteri luar pada Isnin bagi membincangkan tindak balas terhadap rancangan Israel menduduki semula sepenuhnya Semenanjung Gaza.
Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada isu serangan berterusan, kebuluran, pemindahan paksa serta krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.
Langkah itu menyusul selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak cadangan gencatan senjata dan mengarahkan operasi ketenteraan dipergiat, termasuk pemindahan besar-besaran penduduk Gaza dan serangan darat ke kawasan kediaman.
Sejak Oktober 2023, hampir 62,200 rakyat Palestin terbunuh akibat kempen ketenteraan Israel yang turut memusnahkan infrastruktur serta menyebabkan kebuluran teruk.
Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pemimpin utamanya.