Operasi cari mangsa feri karam di Bali dihentikan sementara susulan cuaca buruk

Operasi mencari dan menyelamat 30 mangsa hilang akibat feri karam berhampiran Bali digantung sementara oleh pihak berkuasa Indonesia susulan cuaca buruk dan laut bergelora.
Feri KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 65 orang termasuk penumpang dan anak kapal tenggelam hanya 30 minit selepas berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Jawa Timur menuju ke Bali pada malam Rabu.
Setakat ini, enam mangsa disahkan maut termasuk seorang kanak-kanak tiga tahun dan ibunya. Operasi dijangka disambung pada hari ini dengan bantuan lebih 160 anggota penyelamat.
Menurut mangsa yang terselamat, feri tiba-tiba senget selepas dilanda ombak kuat menyebabkan kenderaan berat berganjak sebelum feri tenggelam dalam masa lima minit.
Ramai terpaksa terjun ke laut dalam keadaan panik dan ada yang terapung berjam-jam sebelum diselamatkan.
Feri tersebut turut membawa 22 kenderaan termasuk 14 trak dan dipercayai tenggelam sepenuhnya.
Pasukan penyelamat kini memberi tumpuan kepada pencarian di permukaan air tetapi tidak menolak kemungkinan mangsa terperangkap dalam feri.