Ops Sky: Jalaluddin Hassan Sedia Beri Kerjasama, Belum Dihubungi SPRM

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung syarikat perunding kewangan yang melantiknya sebagai duta tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau yang berusia 71 tahun berkata belum menerima sebarang panggilan daripada SPRM mengenai syarikat yang terlibat dalam Ops Sky, yang menyaksikan penahanan lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank.
“Saya hanya menghasilkan video dan mempromosikan syarikat. Itu sahaja tugas saya,” katanya kepada mStar pada Ahad (2 Feb).
Jalaluddin menafikan dakwaan menerima bayaran sehingga RM400,000 sebagai duta syarikat dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
SPRM sebelum ini dilaporkan akan memanggil beberapa selebriti yang dikatakan menerima bayaran antara RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat tersebut.
Dalam Ops Sky, sekurang-kurangnya 27 individu ditahan kerana terbabit dalam sindiket yang memperoleh RM700 juta pinjaman bank, namun mengambil 35% daripada jumlah pinjaman yang diluluskan.
Sebanyak 98 akaun syarikat dan individu, melibatkan lebih RM22 juta, telah dibekukan kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.