P Diddy tidak mengaku bersalah atas tuduhan pemerdagangan seks

Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Sean ‘Diddy’ Combs, 55, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan baharu berkaitan jenayah dan pemerdagangan seks di Mahkamah Persekutuan New York, Isnin lalu.
Pendakwa mendakwa Combs terbabit dalam pemerdagangan seks dan mengangkut mangsa untuk aktiviti pelacuran, membabitkan seorang wanita yang dikenali sebagai “mangsa nombor dua”.
Beliau juga didakwa menjalankan kegiatan terancang selama dua dekad, termasuk memaksa dan mengugut wanita serta individu sekeliling untuk memenuhi kehendak seksualnya, selain cuba melindungi reputasi dan menyembunyikan kelakuan tidak bermoral.
Pendakwa turut menuduh Combs mencipta sebuah ‘perusahaan jenayah’ menggunakan pekerja serta sumber perniagaan miliknya untuk melakukan jenayah seperti buruh paksa, penculikan, pembakaran, rasuah dan menghalang keadilan.
Combs bagaimanapun menafikan semua tuduhan dan menegaskan segala hubungan seks yang berlaku adalah atas persetujuan bersama. Perbicaraan dijadual bermula Mei ini.