Panjat bumbung kereta ketika memandu, dua lelaki warga asing ditahan di Sepang

Dua lelaki warga asing ditahan selepas dikesan melakukan aksi berbahaya dengan memanjat bumbung kereta yang sedang bergerak perlahan di Lebuh Raya Damansara – Puchong, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima satu video tular di media sosial pagi Khamis memaparkan dua individu melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya.
Kedua-dua suspek dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemandu kenderaan pada ketika itu yang mahu pulang ke Tajikistan.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah mengambil tindakan segera mengesan dan menahan individu terlibat.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua individu yang terlibat adalah penumpang kenderaan tersebut, manakala pemandu disahkan tidak terlibat dalam aksi berbahaya berkenaan.
Siasatan mendapati individu pertama yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan bertindak keluar melalui tingkap pemandu dan memanjat ke atas bumbung kenderaan semasa ia sedang bergerak dan masuk semula ke dalam kenderaan melalui tingkap penumpang hadapan.
Katanya, video sama turut memaparkan individu kedua yang duduk di tempat duduk penumpang belakang bertukar tempat dengan individu pertama lalu melakukan aksi yang sama.