Pannir Dapat Penangguhan Hukuman Mati di Mahkamah Singapura

PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia, P Pannir Selvam, diberikan penangguhan hukuman di saat akhir oleh Mahkamah Rayuan Singapura semalam.
Pannir disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 kerana menyeludup 51.84g diamorphine di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014. Dia dijadualkan menjalani hukuman mati hari ini.
Peguamnya dari Malaysia, N Surendran, berkata penangguhan ini diberikan oleh Hakim Woo Bih Li kerana terdapat cabaran terhadap Seksyen 18(2) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura serta aduan Pannir mengenai tindakan peguamnya sebelum ini, Ong Ying Ping.
Di bawah Seksyen 18(2), sesiapa yang didapati memiliki dadah terkawal dianggap mengetahui sifat dadah tersebut, kecuali dibuktikan sebaliknya.
“Kami tiada kata untuk menggambarkan betapa leganya perasaan semua orang,” kata Surendran kepada FMT.
“Namun, kita harus ingat bahawa Pannir masih berada di hukuman mati, dan bukan hanya Pannir. Ramai lagi rakyat Malaysia sedang berdepan hukuman gantung di Singapura. Jadi, kami tetap bimbang.”
Pannir, yang menerima sebuah bungkusan daripada seorang rakyat Malaysia untuk diserahkan kepada seorang lelaki Singapura, sentiasa menegaskan bahawa dia tidak tahu isi kandungan bungkusan tersebut mengandungi dadah.
Pannir juga pernah diberikan penangguhan hukuman pada 2019.