Pasangan suami isteri ditahan curi iPhone 13 milik remaja di Tawau

Kuala Lumpur,Oct 16 -Sepasang suami isteri ditahan polis disyaki curi telefon bimbit jenis Apple iPhone 13 milik seorang remaja berusia 17 tahun, di kawasan perumahan Batu 8, Jalan Apas, Tawau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian jam 12.26 tengah malam itu, remaja perempuan itu mendakwa bertemu dengan pasangan berkenaan dengan hasrat hendak beli telefon bimbit miliknya pada harga RM2,600 seperti yang diiklankan pada media sosial.
Katanya, mangsa menyerahkan telefon bimbit berkenaan selepas suspek menunjukkan bukti transaksi bayaran yang didakwa dibuat ke dalam akaun ibu mangsa.
Mangsa yang berasa curiga, segeramenghubungi ibunya bertanyakan mengenai bayaran itu, namun dimaklum tiada sebarang transaksi duit masuk ke dalam akaun bank.
“Kedua-dua suspek secara tiba-tiba terus memecut kenderaan dan melarikan diri bersama telefon bimbit mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, polis Tawau bertindak menahan pasangan suami isteri itu dan dua lelaki tempatan berusia 30 hingga 42 tahun menerusi dua serbuan serta merampas satu unit telefon bimbit jenis Iphone 13 dipercayai barang curi untuk siasatan lanjut.