PDRM: Empat lelaki ditahan, terlibat pergaduhan, lepas tembakan di Pusat Hiburan, di KL

Kuala Lumpur, Ogos 11 – Empat lelaki ditahan polis disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah tempat hiburan bertempat Jalan Metro Pudu, Pusat Perniagaan Fraser, di Ibu Kota awal pagi semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian jam 3.45 pagi, sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan parang dilaporkan bergaduh selain turut melepaskan tembakan.
“Susulan itu, empat lelaki berusia antara 29 hingga 40 tahun dipercayai mengalami kecederaan disebabkan senjata tajam dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.
“Kesemua mangsa dibenarkan keluar hospital sebelum polis menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek akan ditahan reman pagi ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.