
Kuala Lumpur,Julai 27 – Seorang guru lelaki ditahan semalam disyaki mencabul beberapa murid lelaki di sebuah sekolah rendah Hulu Selangor sejak minggu lalu.
Menurut sumber, kesemua mangsa berusia 12 tahun itu dicabul guru berkenaan ketika menyertai pertandingan bola sepak dan terpilih mewakili Hulu Selangor.
Guru lelaki berusia lingkungan 30-an itu kemudian telah ditahan polis di Bukit Beruntung, 1.30 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima empat laporan berkaitan kejadian itu pada 2.03 pagi hingga 10 pagi hari sama.
Suspek disyaki melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi berbeza, termasuk di bilik sebuah inap desa di Ulu Yam.
Katanya, empat kertas siasatan dibuka terhadap suspek yang akan disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan lelaki itu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 31 Julai bagi membantu siasatan.