PDRM masih usaha kesan suspek utama kes tembak di Brickfields, Cheras

Polis masih giat memburu suspek utama dalam dua insiden tembakan berasingan di Kuala Lumpur yang berlaku selang beberapa hari minggu lalu dan telah mengorbankan tiga nyawa.
Dalam kes tembakan pertama pada 13 Jun di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, seorang maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal.
Sehingga kini, polis telah merakam keterangan 19 individu termasuk empat saksi yang berada di lokasi kejadian. Lakaran wajah suspek juga telah diperoleh, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Beberapa hari kemudian, satu lagi insiden tembakan berlaku di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, apabila sekumpulan lelaki bertopeng menaiki Perodua Alza melepaskan tembakan, menyebabkan dua lelaki tempatan maut di tempat kejadian.
Kes itu turut dikaitkan dengan aktiviti jenayah yang dipercayai berpunca dari luar Kuala Lumpur.
Kedua-dua kes dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik jenayah rentas negeri, dan pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri ke luar negara.