PDRM: Pemandu bas sekolah yang tular, ditahan

Kuala Lumpur, Sept 6 – Polis telah menahan seorang pemandu bas sekolah yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Johor, M. Kumar menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap lelaki berkenaan berusia 24 tahun itu pada jam 2.57 pagi tadi di kawasan Simpang Renggam Johor.
Katanya, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung penularan rakaman video yang memaparkan kanak-kanak di dalam bas sekolah berkenaan telah dimuatnaik ke akaun Tiktok Abang Bas milik lelaki itu.
Polis turut rampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang tular itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (a) (iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.