PDRM: Penyebaran jemputan perkahwinan digital fail APK, taktik penjenayah kumpul data peribadi

Kuala Lumpur, Jun 4 – Polis Diraja Malaysia mengesan antara taktik digunakan penjenayah sejak pertengahan tahun 2023 ialah penyebaran mesej jemputan perkahwinan melalui fail aplikasi (APK) yang ditanam ‘perisian hasad’ atau malware bagi mencuri data dan mendapatkan butiran kewangan mangsa.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, penjenayah menggunakan modus operandi penggodaman telefon pintar untuk tujuan mencuri data dan mengakses maklumat kewangan.
Susulan itu, orang ramai dinasihat untuk berhati-hati dan berwaspada untuk tidak memuat turun sebarang fail aplikasi (APK) ke telefon pintar yang diterima melalui mesej dan e-mel, serta hanya berbuat demikian melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya percaya taktik itu menyasarkan mangsa dalam kalangan individu yang kurang pengetahuan berkaitan teknologi, dan mereka diseru untuk lebih berhati-hati.