PDRM pertingkat tahap keselamatan pemimpin susulan insiden Sultan Perak

Polis akan mempertingkat tahap keselamatan pemimpin termasuk Sultan dan Yang di-Pertua Negeri dengan mewajibkan semua pegawai serta anggota pengiring mengikuti kursus keselamatan khas.
Ia susulan insiden seorang wanita cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kursus itu menyerapkan elemen Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando bagi meningkatkan kesiapsiagaan pegawai semasa bertugas dengan pihak istana dan kerajaan negeri.
Insiden itu turut menyebabkan polis membuka kertas enkuiri tatatertib (KET) terhadap pegawai dan anggota pengiring untuk menilai sebarang kecuaian.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 41 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan pernah menerima rawatan psikiatri.
Wanita tempatan itu dikenakan perintah reman selama tiga hari sehingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.