PDRM sahkan anggota trafik berhenti selamatkan mangsa, nafi langgar lari

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa seorang anggota trafik tidak berhenti selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal hingga menyebabkan penunggang lain terjatuh di Lebuh Raya Subang-Kelana Jaya Link.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan, anggota terbabit yang menunggang motosikal BMW ketika menjalankan tugas rasmi sebenarnya berhenti kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk mengelak bahaya kepada pengguna jalan lain.
Beliau menjelaskan, anggota polis berkenaan turut membantu mangsa bersama orang awam sebelum mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal BMW yang berada di lorong kanan mengubah haluan ke kiri lalu bergesel dengan motosikal Honda ADV di lorong tengah, menyebabkan penunggang Honda berusia 20 tahun itu terjatuh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. PDRM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan