Pelajar 12 tahun peroleh ‘upah’ lebih dari ibu bapa, gara-gara jual gambar badan sendiri

Empat orang murid berusia 12 tahun dilaporkan menjual gambar badan sendiri melalui aplikasi WhatsApp, sehinggakan seorang daripadanya berhenti sekolah selepas memperoleh pendapatan lumayan melebihi gaji ibu bapa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu mengendalikan satu kumpulan WhatsApp dengan 762 ahli yang berfungsi sebagai medium pengedaran bahan lucah.
Kes tersebut kini ditangani Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman di bawah Akta Kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Saifuddin berkata kes seumpama itu mencabar pihak berkuasa kerana membabitkan kanak-kanak yang dilindungi undang-undang, justeru menuntut pendekatan bersepadu yang bukan sahaja menekankan aspek penguatkuasaan, tetapi juga pembentukan nilai keluarga dan komuniti.
Dalam perkembangan berasingan, KDN turut mendedahkan kejayaan menumpaskan kegiatan seks bebas bertukar pasangan atau `swinger’ hasil serbuan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu.
Serbuan yang dilaksanakan Unit Pencegahan Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu membawa kepada penangkapan pelajar universiti awam dan swasta, beberapa penjawat awam serta warga asing.
Kes berkenaan didakwa di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana persundalan, selain disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang lain termasuk Seksyen 233(1A) Akta SKMM, Akta Penapisan Filem dan enakmen syariah negeri.
Saifuddin menegaskan usaha membanteras jenayah seksual dalam talian dan luar talian memerlukan kerjasama pelbagai pihak, dengan penguatkuasaan tegas serta kesedaran sosial yang berterusan bagi melindungi generasi muda.